Apa yang dimaksudkan dengan menjaga kebersihan disini ialah bukan apa yang dapat dilihat oleh mata, misalnya seperti menjaga kebersihan anggota badan, pakaian, tempat kediaman dan persekitaran. Menjaga kebersihan yang dimaksudkan ialah menjaga kebersihan hati yang jarang sekali diambil perhatian.
Ramai di antara kita lebih mengutamakan kebersihan zahir daripada kebersihan hati. Ini kerana kebersihan zahir dapat dilihat kekotorannya manakala kekotoran hati tidak dapat dilihat dengan mata kasar kecuali apabila dapat dikesan melalui amal perbuatan dan tindak-tanduknya.
Hati di dalam tubuh manusia ibarat kayu ukur untuk menilai sama ada baik atau buruk amal perbuatannya. Dalam sebuah hadis yang direkodkan oleh Bukhari dan Muslim daripada Abi Abdillah An Nu'man Bin Banyir, Rasulullah SAW berkata, "Ketahuilah bahawa dalam tubuh manusia itu terdapat seketul daging, apabila elok dan sempurna daging itu maka akan elok dan sempurnalah seluruh tubuhnya. Tetapi jika daging itu rosak, akan rosaklah seluruh tubuh itu. Ketahuilah daging yang dimaksudkan itu ialah hati".
Apabila hati berpenyakit, itulah yang dinamakan tidak bersih. Hati tidak bersih atau kotor berpunca dari banyak perkara seperti sombong, angkuh, berdendam, berdengki, takbur, iri hati, bakhil, kedekut, tamak, haloba dan lain-lain perbuatan yang merugikan.
Di dalam banyak-banyak kekotoran hati itu, penyakit syirik merupakan satu-satunya penyakit yang paling bahaya. Rasulullah SAW sering berpesan kepada umatnya agar menjauhi perasaan atau sifat syirik seperti ini.
Tidak dinafikan bahawa segala amal perbuatan yang dilakukan dan menjurus kepada penyakit kekotoran hati ini disebabkan tidak ada rasa ikhlas sewaktu melakukannya. Apabila tidak ikhlas, akan timbullah perasaan riak iaitu melakukan sesuatu hanya kerana mahu mendapat pujian atau sanjungan.
Bayangkanlah apakah manfaatnya jika melakukan sesuatu kebajikan andai kita masih lagi bersifat takbur, sombong, berdendam, dan perbuatan negatif yang lain? Ia akan menjadi sia-sia kerana amal kebajikan yang dibuat tidak mampu membersihkan hati yang sarat dengan kekotoran seperti itu.
Sebaik-baiknya segala amal kebajikan yang dilaksanakan dengan ikhlas akan menjadi penapis kepada perasaan negatif daripada terus meresap dan berkumpul di dalam hati.
Sebelum melakukan sesuatu amal perbuatan, sebaik-baiknya lakukanlah permbersihan hati terlebih dahulu iaitu membuang segala kekotoran yang bersarang di dalam hati. Apabila hati sudah bersih, kita akan menjadi lebih mudah melaksanakan segala amal perbuatan kebajikan dan tidak menjadi sia-sia.
Menjaga agar hati sentiasa di dalam keadaan suci bersih ialah dengan bertakwa dan ikhlas terhadap amal ibadat.
Tujuan manusia dihidupkan ialah untuk beribadat dan menyembah Allah yang menciptakan.
Segala amal perbuatan tidak akan dapat dilakukan dengan lancar sekiranya sifat ikhlas tidak wujud dalam diri. Oleh itu, amatlah perlu bagi kita menanamkan sifat ikhlas kerana ia menghindari diri daripada segala penyakit yang mengotorkan hati.
Selain itu, ibadat kepada Allah Taala juga perlu diiringi rasa cinta dan kasih yang agung dengan mengharapkan pertemuan dengan-NYa pada hari akhirat kelak. Rasa cinta ini perlu sentiasa dipupuk agar terus kekal dan tidak turun naik.
Firman Allah Taala : "Sesiapa yang menharapkan pertemuan dengan Tuhannya maka perlakukanlah amalan soleh dan tidak menyukutukan ibadat kepadaNYA dengan sesuatu pun". ( Surah al-Kahfi : 110 ).
Selain itu, Allah juga menegaskan tentang kepentingan ikhlas ini seperti firman-Nya, "Oleh itu hendaklah engkau menyembah Allah dengan mengikhlaskan segala ibadat dan bawaanmu hanya kepada-NYA". ( Surah al-Zumar : 2 )....
No comments:
Post a Comment