Salah satu syarat sesuatu amalan itu diterima oleh Allah ialah ikhlas dalam melakukannya semata-mata kerana Allah SWT. Tidak kerana manusia, mengejar perkara keduniaan, menunjuk-nunjuk atau sebagainya. Seseorang yang tidak ikhlas dalam amalannya, maka segala amal ibadat yang dilakukan adalah sia-sia dan ditolak oleh Allah SWT.
Sifat tidak ikhlas dalam amalan atau berniat untuk menunjuk-nunjuk merupakan sifat orang munafik di mana mereka itu bersolat, berpuasa ataupun berjemaah semata-mata kerana takut dengan orang dan seterusnya menjadi gunting dalam lipatan. Sifat sebegini amat dibenci oleh Allah SWT.
Kesannya, kehidupan yang dilalui dipenuhi dengan keluh-kesah dan resah gelisah kerana tidak dirahmati oleh Allah. Oleh itu, seorang hamba perlu berusaha untuk meningkatkan keikhlasan diri dari masa ke semasa. Mudah-mudahan ibadat yang dilakukan diterima oleh Allah dan kehidupan kita akan sentiasa diberkati-Nya.
Tiada siapa tahu samada seseorang itu ikhlas atau tidak dalam melakukan amalan kecuali Allah. Seseorang itu tidak boleh dinilai dari segi kulit luaran seperti pakaian yang dipakai. Mungkin dari segi zahir, orang lain melihatnya sebagai seorang yang rajin beribadat, bersolat sunat, puasa sunat, berjubah dan berserban tapi hanya Allah SWT sahaja yang layak menilai. Ikhlas atau tidak hanya Tuhan yang Maha Mengetahui.
Kita boleh membuat contoh daripada golongan munafik misalnya di mana Allah SWT amat mengeji mereka. Pakaian mereka indah, rupa mereka nampak baik. Percakapan mereka juga amat menusuk kalbu. Mana tidaknya, apabila berkata-kata, Nabi SAW pun boleh tertawan. Mereka melakukan amalan agar dilihat oleh orang mukmin di kalangan pada sahabat yang lain. Mereka mendirikan solat dalam keadaan malas dan penuh kepura-puraan.
Oleh itu, kita perlu memastikan segala ibadat yang dilakukan diterima oleh Allah. Selain ikhlas, kita perlu memenuhi dua syarat lagi, iaitu hati yang penuh rasa cinta dan mengharap kepada Allah, juga perasaan rendah diri kepada-Nya yang dipersembahkan ibadat itu.
Firman Allah SWT, "Kami limpahkan pelbagai ihsan kepada rasul-rasul itu ialah kerana sesungguhnya mereka sentiasa berlumba-lumba dalam mengerjakan kebaikan dan sentiasa berdoa kepada kami dengan penuh harapan serta gerun takut dan mereka pula sentiasa khusyuk ( dan taat ) kepada Kami"... ( Surah al-Anbiya' : 90 )
Menurut Aisyah r.a, beliau bertanya Rasulullah SAW mengenai seorang lelaki pada zaman jahiliah bernama Ibnu Jud'an. Beliau seorang yang suka menyedekahkan makanan kepada fakir miskin. Adakah dia mendapat sebarang pahala?? Maka Rasulullah SAW menjawab bahawa perbuatan itu tidak akan mendatangkan sebarang manfaat kerana dia tidak beriman kepada Allah dan hari kiamat. Dia juga tidak melakukan amalan yang disyariatkan untuk mendapat rahmat dan kasih sayang-Nya. Maka, bagaimana Allah mahu menerima ibadatnya itu??
Untuk memastikan ibadat itu diterima oleh Allah, seseorang itu perlu mengikut cara iabadat yang ditunjukkan oleh Nabi Muhammad SAW tanpa membuat sebarang tokok tambah ataupun pengurangan. Pengetahuan yang mendalam tentang Allah akan menambahkan lagi keikhlasan dalam beribadat. Kemudian disusuli pula dengan pengetahuan tentang sunnah Nabi-Nya. Apabila pengetahuan mengenai sunnah ini semakin mendalam, sama ada berbentuk perkataan, perbuatan mahupun pengakuan, maka semakin tinggilah kecintaan dan keikhlasan dalam melakukan ibadat.
Dalam melaksanakan ibadat, sebagai seorang hamba, kita mestilah ada rasa takut dan mengharap rahmat Allah. Takut dengan azab Allah dan bimbang andai ibadat yang dilakukan tidak diterima. Berbekalkan keimanan, ketakwaan dan keikhlasan, mudah-mudahan segala amal ibadat kita diterima dan kehidupan kita sentiasa dirahmati dan dalam Redha-Nya.